Jumaat, 12 Disember 2014

Pelan Pengurusan Sisa Binaan - Administration Building di P2STP

Assalamualaikum wbt.

Salam Jumaat yang sungguh indah kepada semua pengunjung. Buat pertama kali dalam sejarah,  saya ingin menulis tentang "green job". Sebelum mula menulis, saya berkira-kira untuk menulis perkongsian saya ini dalam bahasa apa, adakah bahasa inggeris,  melayu atau bahasa pasar. Namun, demi memartabatkan bahasa kebangsaan, saya cuba untuk menulis dengan bahasa melayu yang betul. Terima kasih untuk abah (Hj Amir Hj Hassan) kerana membuka hati saya untuk bukan sahaja mula menulis, namun menulis dengan menggunakan bahasa melayu yang indah. 

Pagi tadi seperti kebiasaan, saya ke tapak projek dibawah jagaan saya iaitu "Administration Building" atau Bangunan Pentadbiran. Nama ringkas yang dipanggil adalah "Admin Building". Admin Building adalah salah satu daripada banyak lagi bangunan-bangunan teknikal yang lain yang ada dalam projek loji kumbahan ini. Loji kumbahan ini lebih dikenali sebagai P2STP ataupun "Pantai 2 Sewage Treament Plant". Loji kumbahan ini adalah loji kumbahan bawah tanah pertama dan merupakan yang terbesar di Malaysia.

Namun kali ini, saya tidak mahu bercerita banyak tetang P2STP. Saya ingin berkongsi tentang pengurusan sisa binaan yang kami perlu laksanakan disini. Untuk makluman semua, "Admin Building" ini direkabentuk agar mencapai status "certified green building index (GBI)" iaitu bangunan yang disahkan mencapai indeks bangunan hijau.

Salah satu dari kehendak yang perlu dipenuhi bagi memperolehi mata dalam GBI adalah projek ini harus mempunyai pelan pengurusan sisa binaan.  Apa yang perlu dibuat adalah, sisa-sisa binaan ini perlu diasingkan mengikut kategori seperti berikut:
  1. Gunapakai semula - "Reuse"
  2. Kitar semula - "Recycle"
  3. Buang - "Refuse"
80% dari sisa binaan sebenarnya boleh dikitar semula atau digunapakai semula. Berikut adalah pecahan jenis sisa-sisa binaan mengikut kategori:
  1. Boleh digunapakai semula
    • Sisa konkrit, 
    • sisa batu-bata pecah, 
    • sisa jubin, 
    • kayu-kayu terpakai yang bersih dan 
    • besi-besi terpakai yang bersih. 
  2. Boleh dikitar semula - 
    • besi-besi terpakai untuk tetulang yang pendek,
    • sisa paip pelbagai jenis
    • kaca dan lain-lain sisa binaan
  3. Buang
    • sisa domestik seperti plastik minuman, bekas makanan dan lain.
Bagi sisa binaan yang boleh digunapakai semula, semua penggunaan semula haruslah diperiksa terlebih dahulu oleh jurutera/pegawai tapak dari pihak perunding yang bertanggungjawab bagi memastikan kualiti bahan terpakai tersebut boleh diterima. Sebagai contoh, sisa konkrit dan bata pecah boleh dijadikan sebagai bahan untuk asas tapak (sub base) dalam pembinaan jalan. Terdapat juga projek yang menggunakan sisa ini untuk dijadikan sebagai sebahagian bahan campur dalam konkrit, namun tidak untuk projek ini, Kayu-kayu terpakai yang sebelumnya digunakan sebagai acuan (formwork) yang masih kuat dan elok pula digunakan bagi binaan bangunan bersebelahan. Manakala bagi besi-besi tetulang, boleh digunapakai bagi membuat papak konkrit (concrete slab) yang kecil atau digunakan untuk penanda (pegging) kerja-kerja ukur tanah. 

Bahan binaan yang paling panas yang menjadi pilihan untuk kitar semula adalah besi-besi terpakai (Scrap metals).Terdapat banyak pusat-pusat kitar semula yang beroperasi diseluruh negara. Besi terpakai adalah sisa binaan paling sensitif di mana-mana projek binaan sekalipun, kerana nilai pasarannya yang tinggi. Bagi projek P2STP ini, adalah menjadi satu kesalahan seandainya sisa-sisa besi ini dikeluarkan tanpa kebenaran. Lain-lain sisa-sisa binaan akan dikutip oleh pengutip sisa (Waste collector) yang datang secara berkala atau mengikut keperluan. Bermula tahun 2014, tapak pelupusan sisa pepejal (Landfill) Sg Kertas telah dibuka bagi memproses sisa binaan bagi kawasan Lembah Klang. Semua pengutip sisa projek ini adalah disarankan untuk menghantar sisa-sisa binaan ke sana. Tapak  pelupusan sisa sampah Sg Kertas adalah sebuah tapak terteknologi baru yang dapat memproses sisa binaan dengan mengasingkannya mengikut kategori untuk tujuan kitar semula.

Sisa terakhir adalah sisa domestik yang mana akan dikumpul dan diasingkan setempat, sebelum dikutip oleh pengutip sisa (waste collector) untuk dibawa ke tapak pelupusan sisa pepejal yang dibenarkan atau berlesen.

Pengurusan dan mengendalian sisa tapak binaan yang baik dan kretif ternyata sangat berbaloi dan menguntungkan. Seandainya diuruskan dengan bijak sekurang-kurangnya 80% daripada sisa-sisa bahan binaan tersebut boleh digunapakai atau dikitar semula. Semoga anda semua tidak bosan dengan perkongsian saya ini. Mari kita lihat gambar-gambar tapak sisa binaan yang saya sudah asingkan mengikut kategori dibawah:-


Kawasan sisa binaan biasa
Tempat pengumpulan sisa konkrit dan bata

Tempat pengumpulan papan/kayu terpakai yang masih boleh digunapakai

Tong sampah untuk sisa domestik

Tempat pengumpulan sisa besi untuk dihantar ke pusat kitar semula

Semoga usaha saya ini mendapat kerjasama dari semua pihak subkontraktor yang terlibat. Memo arahan mematuhi pelan penrusan sisa binaan ini akan menyusul kemudian. Bak kata pepatah "bagai pahat dengan pemukul", begitu jugalah dengan subkontraktor kami ini. Keperluan untuk memenuhi kehendak "Green Building Index" (GBI requirement) adalah sesuatu yang telah dinyatakan didalam kontrak. Arahan secara lisan tiada tindakan yang diambil. Namun setelah surat arahan dikeluarkan dan tindakan saya memulakan langkah pengasingan sisa barulah tindakan mahu diambil.

Sekian dahulu untuk kali ini. Semoga Allah berikan kekuatan untuk saya menulis dan berkongsi dengan semua pengunjung blog ini tentang "Kerja Hijau".

Wassalamualaikum wbt.

Dari meja Ummu Balqis Johari






Selasa, 3 September 2013

Mulanya sebuah perkongsian

Assalamualaikum wbt..

Saya mulakan blog ini dengan lafaz bismillah dengan nama Allah, semoga diberi kekuatan dan kemampuan bagi menulis dan perkongsi ilmu dan pengalaman yang tidak seberapa dengan semua pengunjung.

Blog ini dimulakan pada September 2013, namun hanya pada akhir tahun 2014 barulah saya mendapat semangat dan kekuatan untuk meneruskannya.

Saya mohon doa dari semua agar mendoakan saya istiqomah menulis dan berkongsi dengan semua sehingga akhir nafas. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada ramai umat manusia dan menjadi saham akhirat buat saya. Insya'Allah.

Semoga "beronok-ronok" membaca...

Wasalamualaikum wbt.


Dari meja Ummu Balqis Johari